Pengenalan Fakulti

Fakulti Pendidikan (FP) Universiti Islam Melaka yang dahulunya dikenali sebagai Fakulti Bahasa dan Pendidikan (FBP) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mei 2017. Seiring dengan wajah dan matlamat baharu fakulti dalam memperkasakan bidang Pendidikan, fakulti ini juga berhasrat untuk memenuhi keperluan semasa bidang Pendidikan negara.

Dengan visi dan misi yang tersendiri, Fakulti Pendidikan berhasrat untuk menjadi sebuah fakulti yang unggul dan bertaraf antarabangsa dalam melahirkan generasi pendidik yang berinspirasi serta kritis. Selain itu, Fakulti Pendidikan juga mahu menyediakan program pendidikan yang berkualiti dalam melahirkan modal insan yang berketrampilan, berkepakaran dan berdaya saing dalam pelbagai aspek seperti pengajaran, pembelajaran, penilaian, latihan guru serta pedagogi.

Sejak penubuhannya, Fakulti Pendidikan telah menunjukkan pertumbuhan yang pesat dari segi pembangunan program akademik dan juga peningkatan jumlah pelajar dari masa ke semasa. Sehingga kini lebih daripada 600 graduan yang telah berjaya dilahirkan daripada program-progam prasiswazah dan pascasiswazah yang ada di Fakulti Pendidikan.

Fakulti Pendidikan menawarkan 5 program akademik utama, merangkumi pelbagai peringkat pengajian yang memfokuskan kepada bidang pendidikan dan kepimpinan bermula daripada peringkat Diploma sehinggalah ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Program-program yang ditawarkan di Fakulti Pendidikan adalah seperti berikut;

  1. Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak
  2. Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak (dengan Kepujian)
  3. Sarjana Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan (Mod Penyelidikan)
  4. Sarjana Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan (Mod Kerja Kursus)
  5. Doktor Falsafah Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan


Bagi memastikan kelancaran urusan akademik dan pentadbiran di fakulti, sejumlah 18 orang staf yang terdiri daripada 2 orang staf pentadbiran dan 16 orang staf akademik telah menjadi tunggak dan tulang belakang di Fakulti Pendidikan. Dengan kelayakkan dan latar belakang yang kukuh, ditambah dengan pengalaman sedia ada, menjadikan barisan pensyarah di Fakulti Pendidikan sentiasa bersemangat dan konsisten dalam memenuhi kehendak serta matlamat universiti.

Secara keseluruhan, Fakulti Pendidikan akan terus berkembang sebagai pusat Pendidikan yang bakal melahirkan generasi pendidik dengan matlamat seperti; menyediakan program pendidikan yang berkualiti dan relevan, selaras dengan keperluan industri dan perkembangan global, mempromosikan penyelidikan yang inovatif dan berimpak tinggi untuk memperkukuhkan amalan Pendidikan, membangunkan kerjasama strategik dengan komuniti, industri, dan institusi pendidikan untuk memperluaskan jaringan akademik dan professional, melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, beretika, dan berdaya saing dalam bidang Pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan menyokong perkembangan potensi pelajar secara holistik.

Kata Aluan Dekan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya, dengan izin dan rahmat-Nya kita dapat terus melangkah maju dalam usaha memperkukuh bidang pendidikan berteraskan nilai-nilai Islam dan kecemerlangan akademik.

 

Fakulti Pendidikan, Universiti Islam Melaka (UNIMEL) komited untuk melahirkan pendidik dan pemimpin pendidikan yang berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional dan global. Seiring dengan visi dan misi universiti, fakulti ini berperanan penting dalam membentuk generasi pendidik yang bukan sahaja kompeten dalam aspek ilmu dan kemahiran, tetapi juga memiliki kekuatan spiritual serta integriti yang tinggi.

 

Dalam menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21, Fakulti Pendidikan sentiasa berusaha memperkukuh kurikulum, memperluas jaringan kerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa, serta meningkatkan penyelidikan dan inovasi dalam bidang kepimpinan, pengurusan pendidikan, Pendidikan awal kanak-kanak, pedagogi dan pembangunan insan. Kami percaya bahawa pendidikan merupakan kunci utama dalam membina masyarakat yang seimbang dan berdaya tahan.

 

aya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga fakulti – para pensyarah, staf pentadbiran, pelajar serta rakan industri – atas dedikasi dan sumbangan yang tidak ternilai dalam menjayakan matlamat fakulti ini. Semoga Fakulti Pendidikan terus menjadi wadah ilmu yang subur, melahirkan pendidik berwawasan serta menjadi peneraju dalam pembangunan pendidikan dan kebangsaan.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua untuk bersama-sama memperkukuh semangat keilmuan dan profesionalisme, agar kita dapat terus menabur bakti demi kemajuan ummah dan negara tercinta.

 

Sekian, terima kasih.

 

Yang benar,

[DR. MAZNI BINTI MUHAMMAD]

Dekan, 

Fakulti Pendidikan 

Universiti Islam Melaka (UNIMEL)